OPA DI JOHOR REKOD TABURAN HUJAN SEHINGGA 77.06 MILIMETER

Operasi Pembenihan Awan (OPA) di enam daerah di Johor semalam mencatat taburan hujan antara 3.79 mm hingga 77.06 mm bagi membantu mengurangkan kesan jerebu di negeri itu, berdasarkan analisis radar cuaca METMalaysia. | Foto FB AH SOON
#JohorBahru – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Johor semalam merekodkan anggaran taburan hujan antara 3.79 milimeter (mm) hingga 77.06 mm di kawasan sasaran, berdasarkan analisis daripada radar cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Menurut laporan METMalaysia, operasi berkenaan melibatkan enam daerah iaitu Muar, Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi membantu mengurangkan kesan jerebu yang melanda negeri ini.
Berdasarkan data cerapan stesen meteorologi terdekat bagi tempoh jam 2 hingga 6 petang semalam, antara jumlah taburan hujan yang direkodkan termasuk 58.0 mm di Bandar Kota Tinggi, FELDA Bukit Batu, Kulai (26.3 mm) dan FELDA Sungai Sibol (21.4 mm).
Pelaksanaan OPA ini dilaksanakan dengan mengambil kira faktor arah tiupan angin, kelembapan udara serta keadaan atmosfera bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk merangsang pembentukan awan hujan.
Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kepakaran teknikal METMalaysia melalui kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah bersepadu dalam menangani situasi jerebu serta mengurangkan kesannya terhadap kualiti udara dan kesihatan awam di Johor.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#OperasiPembenihanAwan
#METMalaysia
#NADMA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



