PAJ SEDIA BANGUNKAN APLIKASI MUDAH ALIH


Bas Muafakat Johor.

 

Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sentiasa komited meningkatkan mutu perkhidmatannya termasuk bersedia membangunkan aplikasi mudah alih bagi membantu pengguna pengangkutan awam di negeri ini merancang jadual perjalanan dan mendapatkan maklumat pergerakan bas secara ‘real time’.

 

Pembangunan sistem pintar tersebut menjadi pertimbangan PAJ dalam usaha memastikan pengguna perkhidmatan awam menikmati perjalanan lebih lancar, membeli tiket secara digital sebaik sahaja Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru – Singapura dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat yang dijangka beroperasi pada tahun 2027.

 

Malah PAJ juga sedang menjalankan kajian terperinci bagi menyusun semula laluan bas yang lebih efisien termasuk menyediakan perkhidmatan bas perantara ke kawasan perumahan dan stesen RTS di Bukit Chagar serta stesen-stesen ART dengan kekerapan yang tinggi terutama pada waktu puncak.

 

Selain itu, antara langkah lain akan dilaksanakan bagi mewujudkan ekosistem pengangkutan awam yang kondusif ialah menerusi penambahbaikan inisiatif ‘Park and Ride’ di pinggir bandar untuk mengurangkan kesesakan trafik bagi memudahkan pergerakan dua hala antara Johor dan Singapura.

 

Kerjasama erat dengan operator bas swasta yang mengendalikan perkhidmatan MyBas juga akan diteruskan dalam usaha mengintegrasikan laluan bersama Bas Muafakat Johor (BMJ) ke stesen-stesen pengangkutan awam yang lain seperti terminal feri, stesen kereta api dan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, kelak.

 

Di samping itu, PAJ akan terus memperkukuh kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi meningkatkan keperluan perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) untuk penduduk luar bandar yang diyakini mampu memberi impak kebolehpercayaan untuk beralih ke pengangkutan awam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor