PALSGAARD RANCANG TAMBAH PELABURAN LEBIH RM100 JUTA DI JOHOR

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor mengadakan lawatan ke fasiliti Palsgaard Malaysia Sdn. Bhd. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Palsgaard Malaysia Sdn. Bhd. selaku syarikat peneraju global dalam pengeluaran penstabil dan emulsi makanan dari Denmark merancang untuk menambah pelaburan antara RM100 hingga RM120 juta bagi memperluaskan fasiliti pembuatan sedia ada di Kawasan Industri SILC.
Memulakan operasi pada tahun 2013 dengan pelaburan hampir RM200 juta, Palsgaard yang kini berkapasiti pengeluaran 20,000 tan metrik setahun bakal membuka 100 peluang pekerjaan baharu menerusi perancangan itu sekali gus memperkukuh Johor sebagai hab pemprosesan makanan berasaskan teknologi.
Selain itu, pengoperasian Palsgaard yang disokong 83 pekerja tempatan turut memberi nilai tambah kepada hasil sawit negara melalui pemprosesan menjadi bahan emulsi dan penstabil bernilai tinggi seterusnya mengurangkan kebergantungan eksport bahan mentah serta meningkatkan daya saing sektor hiliran.
Kerajaan Negeri menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) bersama Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bersedia untuk membantu dari aspek fasilitasi supaya perancangan peluasan fasiliti berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengikut jadual.
Langkah strategik tersebut bukan sahaja meletakkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pemprosesan makanan malah berpotensi menarik lebih banyak syarikat hiliran untuk melabur di negeri ini selain menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing Johor dalam ekonomi serantau.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor bersama YBrs. Tuan Mohamad Reduan Mohd Zabri, Pengarah MIDA Negeri Johor; YM Puan Ungku Suzana Ungku Mohammad, Setiausaha MBIP; YBhg. Encik Syed Aminuddin Syed Salleh, Pengurus Besar Invest Johor serta YBrs. Encik Adny Jaffedon Ahmad, Naib Presiden Kanan IMFC-J mengadakan lawatan ke fasiliti Palsgaard, pada Rabu.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#Palsgaard
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor