PANDANGAN ORANG MUDA JOHOR DIDENGARI


YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan tampil sebagai moderator bersama panel jemputan pada sesi ‘townhall’ yang dihadiri lebih 1,400 peserta Dewan Sultan Iskandar, Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah


Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Johor yang berlangsung, hari ini, menjadi platform terbaik mendapatkan maklum balas serta pandangan golongan belia di negeri jni untuk dijadikan sebahagian daripada draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia sebelum ia diterjemahkan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

 

Bertempat di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu, menyaksikan YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan tampil sebagai moderator bersama panel jemputan pada sesi ‘townhall’ yang dihadiri lebih 1,400 peserta terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan dan komuniti belia di seluruh Johor.

 

Pada sesi itu, pelbagai perkara turut disentuh membabitkan isu keperluan semasa belia seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesukarelawan selain pengisian yang menyentuh soal pengetahuan dan pemahaman terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia dan Akta 668.

 

Muhamad Nazran Muhd Norazam, 22, pencipta kandungan di media sosial turut melontarkan aspirasi supaya pihak kerajaan mewujudkan platform bagi membantu kumpulan ‘content creator’ ini menjana pendapatan yang kini dijadikan sebagai satu profesion baharu.

 

Ujarnya, beliau juga bersedia untuk menjadi individu pempengaruh media sosial kepada Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan untuk membantu berkongsikan insiatif dan sebaran informasi bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

 

Sementara itu, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak terlepas untuk mengikuti Kembara JOM tersebut, sekali gus memastikan suara dan pandangan mereka diterima dan menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Transisi Kepimpinan Belia.

 

Muhammad Ammar Ibrahim Istar, 32, yang juga individu cacat penglihatan dan kini menjadi seorang tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Kota Tinggi, berharap kerajaan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit tanpa sebarang prejudis.

 

Katanya, individu OKU ini hanya memiliki kekurangan dari segi fizikal, namun mereka juga mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mampu memberi manfaat kepada para majikan di luar sana dan bersedia menyokong agenda pembangunan negara.

 

Selain sesi townhall itu, kembara JOM itu turut menyediakan pelbagai pengisian seperti taklimat daripada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), aktiviti Rakan Muda dan reruai pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan.

 

Turut hadir pada program tersebut ialah YB Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dan YB Dato’ Onn Jabbar, Timbalan Setiuasaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor