PARAS EMPANGAN DI JOHOR MASIH STABIL

Empangan utama di negeri ini juga merekodkan tahap stok aktif tinggi, dengan beberapa empangan seperti Seluyut dan Linggiu mencapai kira-kira 96 peratus diikuti Pulai 1 dan Juaseh yang turut menunjukkan paras yang selamat untuk penggunaan harian. | Empangan Sembrong, Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri melalui Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) memaklumkan paras takungan empangan di seluruh negeri ini masih berada pada tahap stabil setakat tengah hari ini, selain pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan bekalan air sentiasa terjaga dan keselamatan empangan dipatuhi.
Empangan utama di negeri ini juga merekodkan tahap stok aktif tinggi, dengan beberapa empangan seperti Seluyut dan Linggiu mencapai kira-kira 96 peratus diikuti Pulai 1 dan Juaseh yang turut menunjukkan paras yang selamat untuk penggunaan harian. Sementara itu, beberapa empangan lain di Johor Bahru dan Kulai merekodkan paras sederhana membabitkan Lower Layang (58.5 peratus), Upper Layang (45.92 peratus), dan Gunung Pulai 2 berada pada 54.90 peratus.
Syarikat pengendali utiliti air Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) turut menganjurkan solat sunat Istisqa’ di Empangan Upper Layang, Johor Bahru pagi tadi yang turut disertai lebih 150 jemaah bertujuan memohon kepada Allah agar diturunkan hujan di kawasan empangan serta tadahan air di seluruh Johor susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohammad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor memaklumkan bekalan air di seluruh negeri masih terkawal dengan majoriti empangan direkodkan masih berada pada paras selamat meskipun berhadapan dengan situasi ketiadaan taburan hujan direkodkan di negeri ini dalam tempoh sebulan.
Namun begitu, keadaan cuaca mula menunjukkan perkembangan positif apabila kejadian hujan mula direkodkan di beberapa daerah sejak Rabu lalu, sekali gus membantu meningkatkan aliran masuk air ke kawasan tadahan dan menyokong kestabilan paras empangan di seluruh negeri ini.
#JohorSafeZone
#StatusEmpangan
#BekalanAir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


