PASUKAN LSF SEDIA JAGA KESELAMATAN SEPANJANG PRU 15


Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) sedang melakukan Latihan Dalam Perkhidmatan -LSF di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian / Foto Ihsan IPD Pontian.

 

PONTIAN — Polis Daerah Pontian semalam mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan – Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata latihan selama dua hari yang bermula 3 hingga 4 November itu dilaksanakan sebagai antara langkah kesiapsiagaan pasukan Polis Daerah Pontian pada PRU kali ini.

“Latihan LSF ini dijalankan bertujuan untuk mengawal keselamatan orang awam dan menjaga keamanan terutama dalam menghadapi PRU15 di daerah Pontian.

“Latihan LSF ini juga dilaksanakan bagi memastikan pasukan LSF ini sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dari segi fizikal dan mental serta cekal menghadapi sebarang ancaman dalam apa jua situasi yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Pontian.

Mohammad Shofee berkata, kesemua latihan LSF ini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman supaya setiap anggota bukan sahaja dilengkapi kemahiran tetapi juga dapat memahami keadaan di sekeliling mereka.

“Bagi tujuan itu, jurulatih dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Pontian, Koperal Zulkifli Ismail dipertanggungjawab menggalas tugasan berkenaan.

“Selain itu, semua anggota pasukan polis ini juga turut dilengkapi dengan kenderaan dan peralatan LSF supaya mereka dapat melakukan persediaan mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan kelak,” katanya.

Untuk rekod, Pasukan Polis Daerah Pontian akan menjadi pihak berkuasa keselamatan yang mentadbir dua kawasan parlimen iaitu P164 Pontian dan P165 Tanjung Piai.

Hari ini bermulanya proses demokrasi berparlimen apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkannya sebagai hari penamaan calon dengan tempoh berkempen selama dua minggu dengan 19 November sebagai hari pembuangan undi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor