PASUKAN PEMANTAU BANTU PULIHARA BIODIVERSITI DAN HIDUPAN LIAR


Pulau Kukup. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) telah menubuhkan pasukan pemantau bagi memastikan kepelbagaian biodiversiti dan hidupan liar di negeri ini terus terpelihara.

 

Pasukan pemantau PTNJ yang turut mendapat jalinan kerjasama daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) itu dijangka akan dapat memastikan langkah pemuliharaan dan pengurusan Taman Negara itu dapat dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.

 

Taufik Bahar, Pengarah PTNJ memberitahu, pasukan pemantau terbabit akan melakukan tugasan pemeriksaan keadaan hutan dan kawasan biodiversiti secara berkala, selainan jalinan kerjasama ini dilihat mampu memastikan usaha bagi memastikan kemampanan kawasan ekologi ini akan terus diberi keutamaan.

 

Beliau berkata, kepelbagaian biodiversiti dan hidupan liar yang semakin berdepan dengan ancaman kemusnahan sehingga boleh menjejaskan ekosistem khazanah alam di negeri ini akan terus dijaga oleh PTNJ dalam memastikan Johor terus mempunyai sistem ekologi yang baik.

 

Katanya, Negeri Johor sememangnya kaya dengan khazanah alam yang luas dan mempunyai tiga jenis kawasan hutan antaranya hutan hujan tropika di Taman Negara Endau-Rompin Peta dan Selai, hutan gunung di Taman Negara (Lagenda) Gunung Ledang dan Air Terjun Gunung Ledang serta hutan paya bakau di Taman Negara Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

 

Bagi tujuan itu, PTNJ turut menggariskan langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang termasuk mengadakan program kesedaran awam dan pendidikan melalui pakej lawatan berpandu serta modul ‘Mangrove School’ yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai konservasi biodiversiti khususnya di hutan paya bakau.

 

Katanya, litupan hutan hujan tropika di negeri ini mempunyai kumpulan tumbuhan penting seperti 78 spesies orkid, 74 spesies palma, 20 spesies halia, 81 spesies pakis serta 52 spesies pokok ubat-ubatan selain spesies harimau belang Panthera Tigris dengan nilai konservasi tinggi yang perlu terus dipelihara.

 

Selain itu, Taman Negara (Lagenda) Gunung Ledang yang berkeluasan 8,611.4 hektar itu turut mempunyai pelbagai keunikan flora dan fauna serta hidupan liar termasuk mamalia besar seperti ungka, monyet, lotong, ceneka dan tapir serta tumbuhan renek serta tujuh spesies periuk kera antaranya ‘Nepenthes mirabilis’.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor