PASUKAN PETUGAS KHAS TANGANI KESESAKAN TRAFIK DI JOHOR BAHRU


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil. 3/2024 di Parlimen. | Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas membincangkan isu kesesakan jalan raya serta penyuraian trafik projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru – Singapura.

 

Penubuhan pasukan petugas khas itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil. 3/2024 dipengerusikan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I di Parlimen, Khamis lalu.

 

Mesyuarat tersebut turut dihadiri YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

 

Kerajaan Negeri membentangkan inisiatif utama yang telah dan akan dilaksanakan termasuk rangkaian infrastruktur pengangkutan serta penyuraian trafik di kawasan ‘The Greater JB’ melibatkan 77 kawasan kesesakan lalu lintas dikenal pasti di empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Turut dibentangkan pelaksanaan dan cadangan lokasi ‘Park & Ride’ melibatkan rangkaian perkhidmatan bas, penambahan rangkaian laluan bas henti-henti serta memperluaskan rangkaian infrastruktur jalan raya di negeri ini terutama kawasan ‘Greater JB’.

 

Kerajaan Negeri yakin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan segala usaha mahupun inisiatif dirancang dapat dilaksanakan bagi memastikan isu kesesakan serta keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi keselesaan pengguna khususnya rakyat Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor