PAVILION JOHOR SASAR 100,000 PENGUNJUNG


Pavilion Johor pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Tapak Pameran Ekspo Pertanian (MAEPS), Serdang. | Foto ihsan Agro Johor

 

Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 100,000 pengunjung untuk mengunjungi Pavilion Johor pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Tapak Pameran Ekspo Pertanian (MAEPS), Serdang.

 

Sasaran tersebut disifatkan YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor sebagai sesuatu yang mampu dicapai berikutan sambutan luar biasa diterima sejak hari pertama Pavilion Johor dibuka pada 11 September lalu.

 

Menerusi pengubahsuaian kedudukan, reka bentuk serta landskap luaran bagi menambah daya tarikan Pavilion Johor, hampir 36,000 orang telah menyerbu ruang pameran negeri ini di ekspo tahunan berkenaan sekali gus memberi keyakinan kepada Kerajaan Negeri untuk melepasi sasaran 100,000 pengunjung.

 

Pavilion Johor menampilkan pelbagai pameran daripada sektor pertanian, ternakan, perikanan yang mengetengahkan teknologi pertanian pintar dan baharu digunakan termasuk mekanisasi pengasingan kerang dalam sektor perikanan serta jualan produk pertanian dan makanan negeri ini.

 

Selain itu, sambutan luar biasa diterima juga mendorong Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sasaran terhadap nilai jualan di Pavilion Johor melebihi RM80,000 berbanding RM71,000 pada penganjuran MAHA tahun 2023.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor hadir merasmikan Pavilion Johor sempena MAHA 2024, di MAEPS, Serdang pada Ahad.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor