PBNJ SATU-SATUNYA PERSATUAN SUKAN TERIMA PENGGREDAN GERAN A
Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menjadi persatuan sukan tunggal yang berjaya menerima penggredan Geran A yang berjumlah RM100,000 tahun ini sekali gus mengulangi pencapaian sama buat kali ketiga berturut-turut sejak 2022.
Penarafan terbaharu itu secara tidak langsung meletakkan PBNJ di satu aras yang lebih tinggi selepas mengambil kira kecemerlangan badan sukan terbabit yang telah banyak menjuarai pelbagai kejohanan domestik dan antarabangsa.
Selain itu, sistem pengurusan dan perancangan dalaman PBNJ yang sentiasa dikelolakan dengan baik bukan sahaja menyebabkan pelbagai pengiktirafan diperolehi oleh badan induk bola sepak bagi Negeri Johor, tetapi turut menjadi contoh ikutan kepada persatuan sukan yang lain.
Sebelum ini sistem penggredan dibuat dengan mengambil kira penilaian setiap persatuan sukan di Negeri Johor berdasarkan beberapa kriteria seperti 50 peratus pencapaian atlet dan 50 peratus dari segi tadbir urus. Bagaimanapun, format bagi 2024 telah diperbaharui dengan menaikkan peratusan pemberat yang merangkumi sebanyak 70 peratus bagi kiraan pencapaian atlet dan baki 30 lagi untuk penilaian membabitkan aspek tadbir urus.
Bagi menjamin kelayakan dan kualiti penarafan penggredan ini, beberapa elemen penilaian lain yang turut diambil kira seperti pendaftaran ahli gabungan, penyediaan takwim tahunan yang lengkap, penyertaan dan penganjuran persatuan sukan tersebut di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa dan semestinya yang paling penting adalah pencapaian atlet yang bertanding. Selain itu, kiraan markah turut membabitkan penilaian di peringkat program pembangunan setiap persatuan sukan, penghantaran borang MYKB dan representasi ahli persatuan sukan.
Bagi menyemarakan lagi industri sukan di negeri ini, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah memperuntukan sebanyak RM1.23 juta bagi tujuan insentif keseluruhan penggredan persatuan sukan pada tahun ini. Ia turut menyaksikan peningkatan penerima penggredan dari 16 kepada 22 persatuan sukan pada tahun sebelumnya.
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor