PDT, UEM LESTRA BANGUNKAN PROJEK SOLAR HIBRID 1GW DI SEGAMAT

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Eksekutif Pusat Kelestarian Johor (JSC) selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara PDT dan UEM Lestra. | Foto Permodalan Darul Ta’zim (PDT)

 

#IskandarPuteri – Johor memperkukuh kedudukan sebagai antara peneraju tenaga boleh diperbaharui negara apabila Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) memeterai Perjanjian Kerjasama dengan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra) bagi pembangunan projek solar hibrid fotovoltaik (PV) berkapasiti 1 gigawatt (GW) di Segamat.

 

Jalinan strategik tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa agenda kelestarian, pemuliharaan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi hijau serta pendirian proaktif Negeri Johor dalam mendukung pembangunan mampan dan penggunaan tenaga hijau yang memberi manfaat kepada rakyat mahupun alam sekitar.

 

Projek diterajui oleh UEM Lestra melalui Lestra HEXA, syarikat usahasamanya itu dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2028 dengan PDT akan berperanan sebagai rakan penyelaras utama bagi memudah cara urusan dengan agensi negeri serta menarik penyertaan syarikat korporat.

 

Selain itu, projek solar hibrid berkenaan bakal menggunakan teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang mampu menjana lebih 1 juta megawatt-jam (MWh) tenaga hijau setahun dan mengurangkan sehingga 800,000 tan pelepasan karbon selain mampu mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baharu.

 

Sebagai salah satu projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan selaras dengan Dasar Tenaga Boleh Baharu Johor 2030, pelaksanaan projek itu menterjemah iltizam Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebagai negeri rendah karbon berdaya saing, mampan serta peneraju tenaga hijau di rantau ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Eksekutif Pusat Kelestarian Johor (JSC) selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara YB Dato’ Ramlee A. Rahman, Presiden dan Ketua Eksekutif PDT serta YBhg. Encik Harman Faiz Habib Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorGreenDeal
#PermodalanDarulTa’zim
#UEMLestra
#SolarHibrid
#KelestarianJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor