PELAJAR CEREBRAL PALSY DAN PASANGAN KEMBAR CIPTA KEJAYAAN DI KONVOKESYEN KOLEJ KOMUNITI JOHOR

Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025. | Foto Kolej Komuniti Negeri Johor

#IskandarPuteri – Seramai 615 graduan menerima Diploma dan Sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing Johor (PMJ), baru-baru ini.

 

Konvokesyen tersebut yang menghimpunkan graduan dari 12 buah Kolej Komuniti di seluruh Negeri Johor iaitu Kolej Komuniti Bandar Penawar, Segamat, Pasir Gudang, Segamat 2, Ledang, Kluang, Batu Pahat, Pagoh, Muar, Kota Tinggi, Tanjung Piai dan Bandar Tenggara, sekali gus menjadi wadah meraikan pencapaian graduan yang telah berjaya dalam pelbagai bidang kemahiran.

 

Bagi Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, 21, kekurangan fizikal akibat menghidap cerebral palsy tidak sesekali menjadi penghalang untuk dirinya untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang seni bina. Beliau yang berasal dari Segamat memberitahu dengan berbekalkan semangat dan dorongan daripada ibu bapa, rakan serta pensyarah menjadi azimat kepada dirinya untuk buktikan keterbatasan fizikal langsung bukan penghalang terhadap sesuatu kejayaan.

 

Kegigihan Muhammad Uwais dalam mengejar cita-citanya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya ditawarkan melanjutkan pengajian ke Pra Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan yang turut menghidapi penyakit yang sama untuk sama berjuang mencapai kejayaan.

 

Sementara itu, pasangan kembar Syahirah Afifah Rohaizat dan Syahirah Afiqah Rohaizat berasal dari Pasir Gudang yang juga merupakan graduan Kolej Komuniti Bandar Penawar, turut mencuri tumpuan apabila kedua-duanya menerima Anugerah Pengarah Sijil Teknologi Maklumat.

 

Ditanya mengenai rahsia kecemerlangannya, pasangan kembar berusia 21 tahun ini memberitahu mereka memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk menelaah pelajaran selain turut menerima dorongan daripada ibu bapa, rakan sekuliah dan pensyarah.

 

Untuk rekod, kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti Negeri Johor kini mencecah 98 peratus pada tahun 2024, membuktikan bahawa lulusan institusi pengajian ini terus mendapat tempat dalam pasaran kerjaya serta menjadi pilihan majikan dan industri.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor Tahun 2025 di Dewan Permata Marjan, PMJ, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#KonvokesyenKolejKomunitiNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor