PELAN STRATEGIK PACU REFORMASI SISTEM KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR

YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Pelancaran Pelan Strategik JKSNJ di Hotel Holiday Villa Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) mengorak langkah berani dan progresif ke arah usaha memperkukuhkan institusi kehakiman syariah dengan melancarkan Pelan Strategik 2025–2030, sekali gus menjadi dokumen hala tuju menyeluruh dalam menjayakan hasrat murni tersebut.

 

Pelan strategik lima tahun ini digubal sebagai panduan dan kompas jabatan dalam memperkukuh sistem pentadbiran kehakiman syariah di negeri ini yang secara tidak langsung turut mencerminkan komitmen JKSNJ dalam membina institusi kehakiman yang adil, berintegriti serta diyakini masyarakat, seiring dengan cabaran semasa dan masa hadapan.

 

Usaha berkenaan juga bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya ia merupakan teras kepada pembaharuan struktur pentadbiran, pengurusan kes serta penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah di negeri ini menerusi inisiatif memperkasa sistem kehakiman melalui tadbir urus yang cekap, profesional dan berpaksikan prinsip keadilan serta maqasid syariah.

 

Antara fokus utama pelan ini termasuk usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan kes syariah, pemantapan integriti serta profesionalisme pegawai dan kakitangan, memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman, penerapan teknologi digital terkini secara menyeluruh serta memperkasa kesedaran masyarakat terhadap sistem perundangan syariah.

 

Berpaksikan kepada lima nilai teras jabatan iaitu ‘Jujur, Kredibel, Siaga, Neutral dan Jelas’, pelan strategik JKSNJ ini akan menjadi panduan utama dalam setiap keputusan dan tindakan, selain ia turut disokong oleh langkah reformasi penyelesaian kes perceraian secara ‘fast track’ bagi menangani isu karenah birokrasi dan juga memastikan keadilan dapat ditegakkan.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Pelancaran Pelan Strategik JKSNJ di Hotel Holiday Villa Johor Bahru, hari ini.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; YB YAA Dato’ Muhammad Khaldun Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dan YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).

 

#JKSM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor