PELAN TINDAKAN MACHAP-SIMPANG RENGGAM DILANCARKAN
#Kluang – Pelan Tindakan Machap-Simpang Renggam melibatkan kawasan pembangunan berkeluasan 100,779 hektar dilancarkan bagi menyokong usaha penyediaan kerangka komprehensif dan hala tuju menjadikan lokasi tersebut sebagai hab logistik.
Pelan dibangunkan secara bersama oleh PLANMalaysia@Johor dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) itu menggariskan 15 tindakan pembangunan terdiri daripada lima tindakan strategik berimpak tinggi, enam tindakan utama serta empat tindakan sokongan.
Ia termasuk projek dengan pendekatan ‘quick win’ meliputi penjenamaan Pasar Jumaat dan menjadikan Simpang Renggam bandar tanpa tunai, cadangan koc khas pelancongan kereta api serta mewujudkan ‘tourism trail’ dan kalendar pelancongan tahunan.
Pelan diilhamkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu bakal menjadikan Machap sebagai ‘Centre Johor Gateway’ diikuti Layang-Layang dilonjak zon ekonomi sokongan Iskandar Malaysia serta Renggam pula ‘Johor Tourism Gateway’ dan bandar belia.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Pelan Tindakan Machap-Simpang Renggam serta perasmian sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor, hari ini.
Hadir sama, YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang; YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) dan YBhg. Datuk TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor