PELARASAN TARIF BAHARU AIR LANGKAH STRATEGIK PERKUKUH BEKALAN AIR JOHOR

Pelarasan tarif baharu diluluskan kabinet menerusi warta berkuatkuasa pada Jumaat. | Foto arkib MDJ.

 

#IskandarPuteri – Pelarasan tarif baharu air diluluskan kabinet menerusi warta berkuat kuasa semalam, menjadi langkah penting bagi Ranhill SAJ ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan jangka panjang rakyat Johor.

 

Syarikat operator air Johor itu dalam satu kenyataan memaklumkan pelarasan tarif baharu utiliti berkenaan di negeri ini tidak melibatkan majoriti pengguna domestik, rumah ibadat serta golongan rentan dalam kelompok e-Kasih.

 

Pelarasan tarif air tersebut hanya melibatkan sebahagian pengguna domestik jalur tiga iaitu bagi penggunaan melebihi 35 meter padu sebulan serta pengguna kategori bukan domestik, manakala pengguna jalur satu dan dua mewakili sebahagian besar pengguna domestik terus menikmati kadar yang lama.

 

Kadar bagi caj minimum domestik kekal RM10.50 dan penggunaan melebihi 35 meter padu sebulan dilaraskan sebanyak 35 sen bagi setiap meter padu, selain peningkatan 20 sen bagi setiap meter padu ke atas pengguna yang masih menggunakan meter pukal di kediaman strata.

 

Pengguna bukan domestik akan menerima pelarasan antara RM1 hingga RM1.75 bagi setiap meter padu dengan caj minimum baharu RM41.50 sebulan, manakala tarif pertama kali diperkenalkan pada kadar RM5.33 setiap meter padu bagi kategori pusat data dan kadar baharu RM8.03 setiap meter padu ke atas industri perkapalan.

 

Selain itu, Ranhill SAJ turut menyifatkan pelarasan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memastikan rakyat Johor menikmati sistem bekalan air yang moden, berdaya tahan dan mampu memenuhi permintaan masa hadapan.

 

Antaranya, penggantian paip lama berisiko kebocoran yang tinggi, menangani peningkatan permintaan bekalan susulan kepesatan pembangunan dan peningkatan penduduk serta membolehkan pelaksanaan projek naik taraf penting termasuk pakej Layang 2 Fasa 2, Semanggar dan Semanggar 3.

 

Terdahulu, pelarasan tarif baharu diluluskan kabinet menerusi warta yang berkuatkuasa pada Jumaat berikutan permohonan dimajukan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan air bersih dan terawat kepada pengguna.

 

#TarifAir
#RanhillSAJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor