PEMBANGUNAN SISTEM ADUAN JOHOR KINI PADA TAHAP 85 PERATUS

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melakukan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Akbar Samon, Ketua Pengarah SISPAA merangkap Ketua Pengarah BPA, Jabatan Perdana Menteri. | Foto Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Pembangunan aplikasi membolehkan aduan daripada rakyat di negeri ini disalurkan, dijejak dan diselesaikan secara ‘real-time’ dikenali sebagai Sistem Aduan Johor kini hampir siap sepenuhnya dengan tahap kemajuan teknikal kini mencapai 85 peratus.

 

Sejak Disember lalu, pelbagai sesi gerak kerja bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Biro Pengaduan Awam (BPA), vendor teknikal dan agensi berkaitan telah digerakkan untuk memastikan pembangunan sistem berkenaan benar-benar menjawab keperluan rakyat.

 

Sistem Aduan Johor kelak berupaya menyatukan pelbagai saluran aduan dari media sosial, emel rasmi, ‘chatbot’ hingga sistem dalaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui penggabungan sistem Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), portal geospatial MBJB (GeoJB) dan integrasi bersama agensi teknikal serta konsesi.

 

Selain itu, segala aspek daripada modul penyiasat dan pelaksana, analitik laporan hingga percubaan di App Store dan Play Store diteliti satu per satu bagi memastikan kelancaran dan kebolehgunaan inisiatif Belanjawan Johor 2025 yang disifatkan sebagai nadi kepada kepercayaan rakyat terhadap kerajaan itu di lapangan.

 

Pelaksanaan fasa pertama sistem tersebut akan bermula di MBJB sebelum diperluaskan ke PBT di kawasan JS-SEZ iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) untuk fasa dua seterusnya ke seluruh negeri.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melakukan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Akbar Samon, Ketua Pengarah SISPAA merangkap Ketua Pengarah BPA, Jabatan Perdana Menteri bagi memperkukuh integrasi Sistem Aduan Johor dengan sistem aduan Kerajaan Persekutuan agar lebih bersepadu, cekap serta responsif kepada aduan rakyat.

 

#SistemAduanJohor
#BelanjawanJohor2025
#SISPAAxBPAxGeoJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor