PEMULANGAN HASIL CUKAI NEGERI PENTING
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memohon Kerajaan Persekutuan memulangkan kembali 20 peratus hasil cukai negeri kepada negeri ini, selari dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Permohonan tersebut disifatkan amat penting bagi memastikan Bangsa Johor terus menerima limpahan manfaat sekali gus memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih baik demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Pada Jun lalu, Pemangku Sultan Johor bertitah agar Kerajaan Persekutuan memulangkan semula 20 hingga 30 peratus hasil cukai negeri yang diberikan Negeri Johor bernilai antara RM48 bilion hingga RM49 bilion setahun.
Kerajaan Negeri juga telah membuat permohonan sama ketika sesi terima mengadap YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan; YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi dan YBhg. Dato’ Shahrol Anuwar Sarman, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor