PENGUKUHAN PERUNDANGAN MUDAH CARA PELABURAN DI JOHOR BAHRU


Persidangan Kemuncak Inovasi Perundangan Johor 2024 yang berlangsung di Hotel Doubletree Hilton, Johor Bahru dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Merancakkan kemasukan pelabur ke Johor terus menjadi agenda utama yang dibincangkan dari perspektif perundangan dalam Persidangan Kemuncak Inovasi Perundangan Johor 2024 yang berlangsung di Hotel Doubletree Hilton, Johor Bahru, hari ini.

 

Program yang dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), turut menekankan peranan undang-undang dalam menjadikan bandar raya ini lebih mesra kepada pelabur, pemain industri, dan ahli perniagaan.

 

Kesalinghubungan antara perundangan dan tadbir urus perlu dirangka dengan garis panduan yang jelas dan seimbang agar pelabur, pemain industri, peniaga, dan masyarakat dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

 

Sementara itu, YBrs Tuan Haji Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, menegaskan penguatkuasaan undang-undang yang seimbang adalah penting bagi memastikan pemegang taruh mematuhi peraturan bagi membentuk landskap pelaburan yang lebih baik.

 

Persidangan yang dihadiri oleh kumpulan profesional perundangan dan ahli perniagaan, bertujuan meningkatkan pemahaman dan penglibatan sektor swasta dalam proses pembuatan peraturan serta menyumbang pandangan dan cadangan yang mesra perniagaan.

 

Forum yang terdiri daripada empat sesi ini merangkumi topik seperti amalan tadbir urus alam sekitar, sosial, dan korporat (ESG) dalam menarik pelaburan; strategi menarik pelaburan asing dengan memahami insentif, undang-undang, dan cukai; mengurus risiko dan cabaran dalam pembangunan hartanah serta kerjasama awam-swasta.

 

Perkara ini penting bagi menyokong strategi ekonomi utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Rapid Transit (RTS Link) Johor Bahru yang sedang dibangunkan bagi menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negeri ini, menjadikan Johor Bahru sebagai destinasi pelaburan yang unggul.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor