PENINGKATAN PENGELUARAN DALAM TEMPOH LIMA TAHUN


 YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menerusi Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor menyasarkan peningkatan pengeluaran kepada tiga subsektor komoditi utama dalam tempoh tahun 2022 hingga 2027.

 

Tiga subsektor komoditi utama yang disasarkan adalah peningkatan 33 peratus masing-masing bagi pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, 62 peratus untuk akuakultur serta 34.5 peratus populasi ternakan ruminan.

 

Sasaran berkenaan berikutan pencapaian positif sebagai penyumbang terbesar sektor pertanian dalam negara dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM17.21 bilion dan 17.1 peratus KDNK sektor pertanian negara, tahun lalu.

 

Untuk rekod, subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar iaitu 67.88 peratus diikuti ternakan 25.36 peratus dan perikanan 6.59 peratus selain pencapaian selaku pengeluar terbesar serta utama bagi komoditi sektor pertanian dan agromakanan dalam negara.

 

Pembangunan sektor pertanian negeri ini terus diperkasa dengan suntikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM68.7 juta dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM24.35 juta manakala Kerajaan Persekutuan pula lebih RM44.37 juta pada tahun ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan YB Puan Gan Peck Cheng, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Penggaram pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor