PENUBUHAN KPHL BANTU KONFLIK GAJAH-MANUSIA

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir ke Majlis Peluncuran KPHL Peringkat Daerah Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kluang – Isu konflik manusia dan hidupan liar khususnya melibatkan spesis gajah liar semakin ketara di beberapa kawasan sekitar negeri Johor.
Mengikut data aduan konflik gajah manusia yang direkodkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), sebanyak 253 kes yang berlaku pada tahun 2024 dan Kluang merupakan kawasan yang paling kritikal dengan jumlah 105 aduan.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Johor bersama Jabatan PERHILITAN serta komuniti tempatan mengambil inisiatif menubuhkan Komuniti Pelindung Hidupan Liar (KPHL) sebagai satu mekanisme berstruktur dalam menggabungkan kuasa komuniti dan kepakaran teknikal agensi bagi menguruskan konflik gajah manusia.
Penubuhan KPHL bakal mewujudkan langkah mitigasi bersepadu bersama agensi dan pihak berkepentingan supaya kawanan gajah dapat dikawal dan dikembalikan semula ke habitat asal. Selain itu, peranan KPHL membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan kepekaan komuniti terhadap langkah awal apabila berhadapan dengan konflik kehidupan liar.
Beberapa program di bawah inisiatif KPHL telah dirancang untuk memperkukuh keberkesanan pengurusan konflik hidupan liar termasuk Bengkel Penyediaan Modul Latihan dan Penyediaan Perkakasan Peralatan Rondaan bagi program KPHL.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir ke Majlis Peluncuran KPHL Peringkat Daerah Kluang dan menyempurnakan penyerahan peralatan kepada 15 buah komuniti dalam program KPHL di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.
Turut hadir, Puan Norliyati Md. Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek Dan Kesejahteraan Rakyat); Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang dan Tuan Haji Aminuddin Jamin, Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#KonflikGajahManusia
#HidupanLiar
#PERHILITAN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



