PENUBUHAN SEKRETARIAT MUAFAKAT FELDA NEGERI JOHOR DISAMBUT BAIK

Hampir 1,000 anak FELDA dari 73 tanah rancangan di Johor yang berada di luar negeri diraikan Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam Majlis Berbuka Puasa Generasi FELDA Johor di Perantauan di Menara FELDA, Kuala Lumpur, kelmarin. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor mendapat reaksi positif daripada komuniti peneroka dan generasi kedua 73 tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini.
Bagi Ahmad Fadli, 42, generasi kedua FELDA Maokil menyifatkan langkah Kerajaan Negeri menubuhkan sekretariat FELDA di peringkat negeri sebagai tindakan yang amat dinanti-nantikan dan membuktikan keprihatinan pimpinan Kerajaan Negeri membela nasib warga peneroka.
Pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Melaka itu juga melihat inisiatif berkenaan dapat memperkukuh hubungan antara warga FELDA yang berhijrah ke kawasan bandar bersama Kerajaan Negeri sekali gus dapat memberikan manfaat besar kepada komuniti di tanah rancangan.
Sementara itu, Suzziyana Hosni, 32, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) bersedia menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memastikan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor dapat bergerak dengan efisien.
Pujian turut dizahirkan terhadap kepimpinan muda Kerajaan Negeri yang sentiasa memahami cabaran semasa dalam aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan sosial selain turut berkeyakinan lebih banyak perubahan positif dapat dilaksanakan menerusi penubuhan sekretariat berkenaan.
Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor dipengerusikan oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang dilancarkan pada 23 Mac lalu berperanan merangka inisiatif khusus terhadap kebajikan anak FELDA.
#GenerasiFELDAJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor