PERBADANAN ISLAM JOHOR PACU KECEMERLANGAN PELAJAR


Perbadanan Islam Johor (PIJ) menyumbang RM2 juta kepada Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ). | Foto MDJ Nurina Aiyah

 

Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) telah menyumbang RM2 juta sebagai tambahan kepada RM12.5 juta bagi baik pulih 88 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) kategori kritikal pada tahun ini.

 

Dana sumbangan tersebut bertepatan dengan satu daripada tiga agenda utama pelaksanaan program wakaf oleh PIJ iaitu pendidikan sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap keselesaan guru dan pelajar SAKJ untuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam suasana kondusif.

 

Malah, PIJ terus komited melaksanakan program bantuan amal jariah dengan menyumbang televisyen pintar atau ‘Smart TV’ berukuran 55 inci kepada 160 SAKJ melibatkan peruntukan berjumlah RM600,000 yang menyokong sistem digital Pendidikan Islam Digital (JPID) Albayen di negeri ini.

 

Di samping itu, Johor terus kekal sebagai peneraju dan muncul negeri pertama menggerakkan transformasi pendidikan melibatkan murid berkeperluan khas penglihatan dengan menyediakan teknologi Braille Elektronik atau e-Braille seperti komputer riba menggantikan mesin Braille sedia ada.

 

Seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024, PIJ menyumbang 10 e-Braille kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Keperluan Khas Princess Elizabeth dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) melibatkan peruntukan berjumlah RM200,000 yang memberi manfaat kepada 70 pelajar.

 

Teknologi keluaran ‘eBrelle Laptop for The Blind’ yang turut dilengkapi al-Quran Braille itu berupaya membantu pelajar mentranskripsi dokumen digital pelbagai format serta membolehkan untuk membawa ayat suci dalam tulisan Braille meskipun dalam serba kekurangan.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah PIJ Tahun 2024M / 1445H yang disempurnakan oleh YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor. Hadir sama, YB Dato’ Abdul Rahman Salleh, Pengurus Besar PIJ dan YBrs. Yahya Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor