PERMATA JOHOR YANG BERSINAR


Penerima insentif, Orkes Sujana Bakti dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Kluang menerima RM10,000 kerana bakal menyertai festival keroncong tahunan berskala antarabangsa iaitu Solo Keroncong Festival (SKF) 2024 di Kota Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia pada 17 Julai ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Pengiktirafan ke atas pelajar dan sekolah yang mewakili seterusnya mengharumkan nama negeri dan negara dalam pelbagai acara dan pertandingan di peringkat antarabangsa diteruskan dengan penyampaian insentif galakan program Johor Stars Go Global siri 2 anjuran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

 

Penerima insentif, Orkes Sujana Bakti dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Kluang menerima RM10,000 kerana bakal menyertai festival keroncong tahunan berskala antarabangsa iaitu Solo Keroncong Festival (SKF) 2024 di Kota Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia pada 17 Julai ini.

 

Menjadi wakil tunggal Malaysia ke festival tersebut, Nor Azam Saiman selaku jurulatih muzik Orkes Sujana Bakti percaya penyertaan kumpulan berkenaan akan menjadi batu loncatan yang memartabatkan seni irama lagu tradisional Melayu itu di Negeri Johor malah memasang impian untuk mengadakan bengkel keroncong di peringkat kebangsaan.

 

Sementara itu, insentif galakan berjumlah RM2,500 telah disampaikan kepada Noor Halini Allias, Guru Edufluencer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Kluang yang akan mewakili negara dan Asia Tenggara ke forum Climate Education Summer University (CESU) di Toulouse, Perancis pada 8 hingga 12 Julai ini.

 

Penerima lain adalah SMK Dato’ Penggawa Timur, Pasir Gudang yang menerima RM10,000 bagi penyertaan dalam Pertandingan Drama Sains Antarabangsa di Beijing, China diikuti SK Sri Tebrau (RM6,000) dan Maktab Sultan Abu Bakar (RM3,000) yang menyertai Kejohanan Lompat Tali Asia di Kawasaki, Jepun serta SMK Yong Peng (RM3,000) bagi Olimpik Kimia Antarabangsa Ke-56 di Riyadh, Arab Saudi.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Penyerahan Cek Cura Program ‘Johor Stars Go Global’ Siri 2 disampaikan oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor di Kota Iskandar, semalam. Turut hadir, YBhg. Mohd Hanafi Samad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan YBhg. Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor