PERTAMBAHAN PAKAR, PERALATAN MODEN TINGKAT KECEKAPAN PEMBEDAHAN UROLOGI

Melalui Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM360,000 kepada Jabatan Urologi HSA bagi tujuan pembelian peralatan perubatan canggih yang akan membolehkan pembedahan invasif minimum seperti rawatan laser untuk batu karang buah pinggang dan saluran kencing serta pembedahan prostat yang mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan. | Foto FB Ah Soon
#IskandarPuteri – Sebanyak 45 pembedahan urologi berjaya dilaksanakan dalam tempoh enam hari berturut-turut oleh Pasukan Pakar Urologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, sekali gus mencatat satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha mengurangkan senarai menunggu pesakit yang memerlukan rawatan penyakit membuang batu karang.
Kejayaan tersebut merupakan hasil koordinasi rapi antara pasukan Urologi HSA, pihak pengurusan hospital serta sokongan pasukan peralatan perubatan yang melibatkan pesakit dalam senarai menunggu termasuk mereka yang telah menanti menjalani rawatan selama lebih empat tahun.
Melalui Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM360,000 kepada Jabatan Urologi HSA bagi tujuan pembelian peralatan perubatan canggih yang akan membolehkan pembedahan invasif minimum seperti rawatan laser untuk batu karang buah pinggang dan saluran kencing serta pembedahan prostat yang mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Penggunaan peralatan baharu dan serba moden ini secara tidak langsung memendekkan tempoh pemulihan pesakit, malah membolehkan pesakit discaj dalam tempoh sehari selepas pembedahan, manakala lima hingga enam pembedahan lain juga boleh dilaksanakan dalam tempoh sehari berbanding hanya satu atau dua operasi yang dapat dijalankan sebelum ini.
Selain itu, usaha murni Kerajaan Johor dalam memastikan rakyat terus mendapat akses rawatan kesihatan yang pantas dan berkualiti juga telah berjaya meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menyelesaikan hampir 20 peratus kes dalam senarai menunggu.
Sebagai satu-satunya pusat rawatan pakar urologi di Johor yang turut menerima rujukan dari Melaka, pertambahan seramai tiga pakar dalam bidang berkenaan serta sokongan peralatan moden telah membolehkan Jabatan Urologi HSA menyelesaikan dan mempercepatkan rawatan bagi kes tertunggak.
Inisiatif ini turut disokong dengan pembukaan bilik pembedahan dan wad sementara khas yang bukan sahaja mempercepatkan rawatan, malah turut membantu mengurangkan tekanan terhadap kapasiti katil hospital, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
#JohorSafeZone
#PakarUrologi
#SistemKesihatanJohor
#HospitalSultanahAminah
#HSA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


