PESAWAH SAMBUT BAIK INISIATIF PEMBANGUNAN PADI KERAJAAN JOHOR


Sawah Ring, Tangkak. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Komitmen Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.9 juta sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan produktiviti sawah padi Negeri Johor daripada 4 kepada 6 tan metrik per hektar disambut baik para pengusaha sawah padi di negeri ini.

 

Bagi Idrus Yunus, 55, Pengerusi Kelompok Sawah Ring yang juga merupakan pesawah di kawasan berkenaan, insentif diberikan Kerajaan Negeri akan merancakkan lagi aktiviti dan membantu meningkatkan produktiviti sawah di luar jelapang padi.

 

Malah, insentif disalurkan Kerajaan Johor kepada kumpulan pesawah turut membantu mereka bagi menaik taraf sistem pengairan dan saliran di kawasan sawah padi sedia ada memandangkan ia amat penting untuk menjaga kualiti tanaman tersebut.

 

Pengusaha tanaman padi Sawah Ring dekat Tangkak itu juga berkeyakinan usaha Kerajaan Johor dalam menambah kawasan tanaman padi di negeri ini dapat menjayakan aspirasi Periuk Nasi Selatan seterusnya memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju sekuriti makanan negara.

 

Selain itu, Pasidah Jamsari, 60, Setiausaha Kelompok Sawah Sungai Balang juga senada dan yakin insentif diberikan Kerajaan Negeri dapat meningkatkan mutu dan kualiti kerja yang lebih sistematik dalam meningkatkan produktiviti padi selain menarik minat generasi muda turun ke sawah.

 

Tambah Pasidah, beliau menyokong penuh usaha murni Kerajaan Negeri yang sentiasa membantu pesawah termasuk kemudahan mekanisasi pertanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta meredakan kos operasi.

 

Teras Kedua: Pembangunan Ekonomi di bawah Strategi Keterjaminan Bekalan Makanan dalam Belanjawan Johor 2024 menggariskan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti pengeluaran beras menerusi inisiatif Pelan Pembangunan Industri Padi dan Beras: Periuk Nasi Selatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor