PKHNJ 2030 LANGKAH STRATEGIK JOHOR PACU EKONOMI HALAL

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia (WHEA) 2024 dan Pra-Pelancaran PKHNJ 2030 di Pusat Konvensyen Desaru Coast. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#KotaTinggi – Kerajaan Negeri terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju industri halal negara melalui Pra-Pelancaran Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030, sebuah pelan hala tuju komprehensif yang dirangka untuk melonjakkan ekonomi halal negeri.
Melalui pelan tersebut, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran makro menjelang tahun 2030 termasuk sumbangan RM24 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor halal negeri dan RM18 bilion nilai eksport halal selain mensasarkan RM5 bilion pelaburan terkumpul serta RM62 bilion jumlah keluaran industri.
PKHNJ 2030 dirangka menerusi tujuh strategi utama merangkumi pemerkasaan sistem dan proses pensijilan halal, pembangunan bakat dan kepakaran halal, penyaluran dana dan insentif strategik serta pembangunan infrastruktur logistik bersepadu.
Pelan berkenaan turut menggalakkan inovasi perkhidmatan halal, perluasan pemasaran dan integrasi teknologi digital bagi memastikan sektor halal negeri berkembang secara tersusun, kompetitif, serta mematuhi piawaian syariah.
PKHNJ 2030 turut diperkukuh dengan penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) yang berperanan sebagai agensi penggerak utama PKHNJ 2030 dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kepakaran komprehensif kepada usahawan di negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia (WHEA) 2024 dan Pra-Pelancaran PKHNJ 2030 di Pusat Konvensyen Desaru Coast, semalam.
Pada majlis sama, Johor menerima pengiktirafan berprestij di peringkat nasional apabila dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Prestasi Halal Negeri sebagai pengiktirafan terhadap usaha Kerajaan Negeri memajukan ekonomi halal secara menyeluruh menerusi inisiatif PKHNJ 2030.
#JohorSafeZone
#PKHNJ
#HalalJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


