PM PUJI PERTUMBUHAN POSITIF EKONOMI JOHOR, PULANG HASIL KEPADA RAKYAT

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Johor 2025. | Foto FB Anwar Ibrahim
#IskandarPuteri – Pertumbuhan positif dan pesat ekonomi Johor mendapat pujian YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri sambil menyifatkan perkembangan tersebut permulaan baik bagi memastikan hasil diraih negeri dapat dinikmati oleh rakyat.
Kerajaan Negeri dilihat bukan sahaja komited menggerakkan kemajuan ekonomi malah turut bersungguh untuk menyeimbangkan pembangunan dengan nilai kemanusiaan melalui inisiatif seperti Program Infaq Jumaat Johor yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sebanyak RM1.72 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk disalurkan kepada 132 masjid seluruh Johor bagi menyediakan makanan secara mingguan kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama menerusi inisiatif baharu tersebut.
Sementara itu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yakin Johor berada pada landasan terbaik untuk mencapai nilai pelaburan melebihi RM100 bilion pada tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama negara.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Johor 2025 di Sunway Hotel Big Box, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Senator Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Komitmen Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM1.7 juta untuk menjayakan IJPAM Johor 2025 yang menjadi medan pertemuan penting agensi-agensi agama seluruh negara turut dihargai oleh Kerajaan Persekutuan.
#JohorSafeZone
#IjtimakJohor2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor