PRO-MAHIR BANGUNKAN MODAL INSAN HOLISTIK
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited mempersiapkan Bangsa Johor agar lebih bersedia untuk memanfaatkan peluang-peluang yang tercipta melalui kepesatan pembangunan ekonomi seterusnya memperkukuh daya saing Johor di persada dunia.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Program Latihan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR) melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17 juta dan telah memanfaatkan 3,500 peserta dengan peningkatan kemahiran selari dengan keperluan industri.
Selain menawarkan latihan teknikal, PRO-MAHIR dijayakan oleh Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor turut menekankan pembangunan kemahiran insaniah kepada peserta seperti komunikasi, kepimpinan, dan penyelesaian masalah.
Usaha seumpama itu turut akan diperluaskan melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang bakal menjadi platform utama pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan bagi menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dilancarkan pada 3 November lalu, sebanyak RM20 juta akan disalurkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) kepada JTDC untuk memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran dapat dilaksanakan secara holistik dan efektif.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor