PROFESIONALISME DAN KOMPETENSI PEGAWAI TADBIR NEGERI DIPERKUKUHKAN

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor hadir ke Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2025 bagi Program Diploma Profesional Pascasiswazah Pengurusan Tanah Sesi 2024/2025. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Seramai 20 graduan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam Program Diploma Profesional Pascasiswazah Pengurusan Tanah Sesi 2024/2025 pada Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2025 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

 

Kejayaan ini mencerminkan keberhasilan inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memperkukuh kompetensi Pegawai Tadbir Negeri Johor melalui peruntukan sebanyak RM1.43 juta pada Belanjawan Johor 2025 bagi mengikuti Program Diploma dan Sijil Profesional dan kursus-kursus lain sekali gus memantapkan tahap kebolehupayaan serta profesionalisme pentadbiran negeri pada masa akan datang.

 

Bagi Encik Muhammad Nor Jaafar, Ketua Penolong Pengarah (Pelupusan, Penguatkuasaan & Teknikal) Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Johor, memberitahu peluang mengikuti program profesional tersebut merupakan satu amanah besar kepada dirinya untuk meningkatkan keupayaan diri sebagai pegawai tadbir di negeri ini.

 

Menurutnya, sebagai seorang pegawai tadbir negeri, ia juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dalam sektor perkhidmatan awam untuk sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran, terutama dalam bidang ilmu pentadbiran tanah yang sentiasa berkembang dan memerlukan kefahaman mendalam.

 

Sementara itu, bagi Puan Nur Syafiqah Md Shahril, Penolong Pengarah (Audit Pengurusan) PTG Johor, memberitahu beliau sangat bersyukur kerana dapat menamatkan pengajiannya walaupun sebelum ini turut berdepan dengan kekangan tugasan harian yang padat ini. Kejayaan ini juga adalah hasil daripada disiplin diri, selain turut mendapat sokongan padu keluarga dan rakan sekerja.

 

Selain itu, susunan modul pengajian, penyampaian pensyarah dan perancangan kelas sangat teratur serta menepati keperluan sebenar perkhidmatan menjadikan ilmu yang dipelajari ini akan membolehkan ia diaplikasikan terus dalam tugasan harian di jabatan.

 

Menerusi Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri terus memperhebatkan peranan Penjawat Awam Negeri terutama membabitkan kumpulan pelaksana melalui peruntukan sebanyak RM970,000 bagi mengikuti Program Diploma dan Sijil Profesional, sekali gus membantu mereka meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional dalam bidang pentadbiran tanah, pengurusan aset dan pembangunan wilayah.

 

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM2.96 juta untuk pengajian pasca siswazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Dalam Negara dan RM1 juta khusus untuk program pembangunan bakat Pegawai Tadbir Negeri Johor.

 

Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor hadir ke Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2025 bagi Program Diploma Profesional Pascasiswazah Pengurusan Tanah Sesi 2024/2025 di Dewan Sultan Iskandar, UTM.

 

Turut hadir ialah YBhg. Encik Mohd Razlan Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah UTMSPACE; YB Dato’ Dr. Haji Badrul Hisham Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif APTNJ serta YBrs. Prof. Dr. Nazri Ali, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE.

 

#JohorSafeZone
#AkademiJCS
#UTMSPACE
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor