PROJEK GLORY PERKUKUH URUS TADBIR, PACU TRANSFORMASI PENTADBIRAN NEGERI

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Johor 2026 dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pegawai Pengurusan dan Profesional Tahun 2023-2025 di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri — Kerajaan Johor akan melaksanakan Projek Glory sebagai langkah pemacu transformasi strategik bagi memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam dan memastikan setiap dasar negeri ini akan dilaksanakan secara berimpak serta berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.

 

Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan tadbir urus yang berintegriti dalam kalangan Pegawai Tadbir Negeri Johor sebagai tulang belakang kepada pentadbiran negeri ini.

 

Bagi menyokong pembangunan bakat secara menyeluruh, Majlis Pembangunan Bakat Pegawai Tadbir Negeri Johor akan ditubuhkan bagi merancang, menyelaras dan memantau pembangunan kompetensi serta hala tuju kerjaya pegawai tadbir negeri ini pada masa akan datang.

 

Struktur pentadbiran di peringkat daerah juga akan turut diperkemas menerusi penyusunan semula fungsi Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah di empat daerah terpilih iaitu Johor Bahru, Kulai, Muar dan Batu Pahat bagi mengoptimumkan sumber daya dan memperkukuh tadbir urus.

 

Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan terus dipertingkat melalui pendekatan yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan kepada penyelesaian masalah rakyat selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

 

Transformasi Johor Bahru diperkasa melalui pengurusan bandar, mobiliti, perumahan, keselamatan dan pembangunan ekonomi secara bersepadu khususnya dalam konteks inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Selain itu, agenda kerajaan digital serta transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun Negeri juga akan dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan pulangan strategik dan hasil kewangan yang mampan kepada negeri ini.

 

Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Projek Glory, warga perkhidmatan awam Negeri Johor digesa supaya memperkukuh integriti, profesionalisme, pemikiran strategik dan budaya kerja berpasukan yang berteraskan amanah, selain sentiasa berpegang kepada ajaran agama.

 

Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor hadir menyampaikan amanat sulungnya pada Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Johor 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

 

Hadir sama, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor, barisan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, barisan Pegawai Tadbir Negeri Johor serta kumpulan Pengurusan dan Profesional Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#SetiausahaKerajaanJohor
#TadbirUrusKerajaan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor