PROJEK LANDASAN BERKEMBAR ELEKTRIK GEMAS-JB 99 PERATUS SIAP

Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) sepanjang 288 kilometer (KM) yang menghubungkan antara Gemas, Negeri Sembilan dan Johor Bahru kini telah mencapai 99 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya mulai 21 April ini.
Ia akan disusuli dengan perkhidmatan projek Keretapi Elektrik (ETS) sektor selatan yang dijangka akan beroperasi pada 12 Ogos depan yang dilihat mampu membawa antara 300 hingga 500 penumpang dalam satu-satu masa, selain mampu memendekkan tempoh perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selama tiga jam 30 minit berbanding mod kenderaan pengangkutan awam biasa.
Justeru, melihatkan kepentingan dan impak projek pengangkutan awam ini terhadap limpahan pembangunan ekonomi, peluang pelaburan dan sektor pelancongan di Johor, Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) mengadakan Tinjauan Keselamatan PLBE Bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Segamat di Stesen KTMB Segamat.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Hj Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) memberitahu program berkenaan bertujuan untuk memberi gambaran awal dan persediaan dalam menghadapi sebarang situasi ancaman ketenteraman awam atau pengendalian krisis keganasan sekiranya ianya berlaku.
Ini kerana tren elektrik dan kereta api adalah antara mod pengangkutan bukan sahaja mampu membawa jumlah penumpang yang ramai tetapi juga boleh membawa muatan sama ada industri serta pertahanan negara. Justeru, soal keselamatan rakyat perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri beriltizam untuk memastikan sebarang bentuk ancaman keselamatan yang melibatkann orang awam yang menggunakan prasarana atau mod pengangkutan awam di Johor. Bagi maksud itu, JKKD di Negeri Johor perlu sentiasa cakna dengan hal ehwal isu semasa, keadaan persekitaran terkini dan menerapkan minda keselamatan supaya kebolehan meramal sebarang kemungkinan ancaman keselamatan bukan sahaja boleh dikesan di peringkat awal tetapi dapat mencegahnya daripada berlaku.
Terdahulu teks ucapan beliau dibacakan oleh YBhg Tuan Mohd Hairul Anuar Bohro, Pengarah MKN Negeri Johor.
Hadir sama ialah YBhg Datuk Rani Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB; YBhg Tuan Hj Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru; YBhg Tuan Hj Ezzuddin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat; YBhg Puan Hjh Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang dan YBhg Tuan Hj Fizwan Dato’ Hj Rashidi, Pegawai Daerah Kulai.
#ETS
#KeretapiLaju
#ETSGemasJB
#LandasanBerkembarElektrik
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor