RAYA SEKAMPUNG BANGSA JOHOR DIANJUR DI LEBIH 1,100 LOKASI

Kehangatan Syawal terus dirasai menerusi penganjuran Raya Sekampung Bangsa Johor di lebih 1,100 lokasi bagi menyemarakkan perpaduan masyarakat.

 

#IskandarPuteri – Kehangatan Syawal terus dirasai apabila Kerajaan Johor menganjurkan program Raya Sekampung Bangsa Johor di lebih 1,100 lokasi di seluruh negeri ini sebagai antara usaha untuk menyemarakkan perpaduan dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

 

Inisiatif ini dilaksanakan melibatkan komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), rancangan FELDA, zon Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta persatuan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).

 

Penganjuran program ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan perpaduan rakyat sebagai asas utama kepada kekuatan negeri.

 

Melalui konsep Bangsa Johor yang telah sekian lama diterapkan, perpaduan terus menjadi tunjang kepada kehidupan masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan kedudukan sosial.

 

Program Raya Sekampung Bangsa Johor bertujuan untuk menghidupkan budaya gotong-royong atau rewang, menyemarakkan amalan ziarah serta pada masa sama dapat mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga.

 

Usaha ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh pembangunan komuniti secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek ekonomi dan fizikal, malah merangkumi kesejahteraan sosial rakyat.

 

Seluruh komuniti termasuk ketua kampung, jawatankuasa penduduk, golongan belia dan sukarelawan diseru untuk terus memainkan peranan aktif dalam menjayakan program ini, sekali gus menjadi asas penting dalam membina Bangsa Johor yang bersatu, harmoni dan sejahtera.

 

#JohorSafeZone
#RayaSekampung
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor