REBAT 15 PERATUS UNTUK PENGGUNA TERKESAN GANGGUAN AIR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Semua pengguna di daerah Johor Bahru yang terjejas akibat gangguan bekalan air baru-baru ini akan menerima rebat bil air sebanyak 15 peratus.
Tindakan segera pemberian rebat air ini adalah sebahagian daripada tanda keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat yang bedepan ketiadaan air akibat daripada masalah kerosakan luar jangka.
Langkah pemberian rebat ini adalah hasil rundingan Kerajaan Negeri bersama pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd (Ranhill SAJ) melibatkan 155,074 akaun pengguna yang merangkumi kategori domestik dan bukan domestik, termasuk kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.
Menginsafi pemberian rebat berkenaan tidak mampu menampung keseluruhan beban dan kesulitan yang ditanggung rakyat, Kerajaan Negeri berharap inisiatif signifikan berkenaan sekurangnya dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada pengguna yang terkesan dengan masalah luar jangka itu.
Bagi memastikan perkara sama tidak berulang, Kerajaan Negeri turut menubuhkan satu pasukan petugas khas (taskforce) bagi memantau dan menyelaras tindakan segera serta pelan jangka panjang berkaitan sistem bekalan air di Johor.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri juga telah menggerakkan penghantaran 42 lori tangki air, 51 tangki air statik serta mengagihkan 13,000 karton air mineral ke kawasan-kawasan terjejas iaitu Zon Tebrau, Kempas dan Bandar, Tiram, Skudai, Bukit Indah dan Iskandar Puteri susulan insiden luar jangka salah satu daripada sembilan pam utama di rumah pam Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor mengalami kerosakan yang serius.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor