REKOD PELABURAN RM110 BILION BUKA PELUANG BAHARU BUAT ORANG MUDA JOHOR

Kerajaan Negeri menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan bahawa setiap pembangunan yang dirancang mesti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta memperkukuh masa depan Bangsa Johor. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kejayaan Johor mencatat jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia bagi tahun 2025 dengan nilai RM110 bilion bukan sekadar pencapaian ekonomi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pewujudan ruang serta peluang baharu kepada rakyat khususnya membabitkan Orang Muda Johor.
Menerusi pencapaian tersebut, ia dijangka bakal mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Orang Muda Johor untuk membina karier dalam pelbagai sektor ekonomi moden termasuk teknologi, industri dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Kerajaan Negeri menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan bahawa setiap pembangunan yang dirancang mesti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta memperkukuh masa depan Bangsa Johor.
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh, Kerajaan Negeri turut mempertingkat pelaburan terhadap pembangunan belia apabila sebanyak RM211.74 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 55 inisiatif pembangunan Orang Muda Johor pada tahun ini.
Inisiatif tersebut merangkumi pembangunan bakat, pengukuhan kepimpinan belia, penyediaan kemudahan sukan serta pelaksanaan program keusahawanan yang berupaya memberi peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan yang lebih baik di negeri sendiri.
Selain itu, kemasukan pelaburan berskala besar turut membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dengan memenuhi kehendak serta keperluan rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan kepada syarikat pelabur, sekali gus merancakkan sektor logistik, makanan, teknologi serta perkhidmatan profesional di Johor.
Melalui peranan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) pula, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sokongan kepada usahawan tempatan menerusi program pembangunan kapasiti, pembiayaan serta pemadanan peluang perniagaan agar mereka dapat memanfaatkan hasil daripada kemakmuran pertumbuhan ekonomi negeri yang dikecapi pada ketika ini dan akan datang.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#OrangMudaJohor
#Keusahawanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


