RKK BANDAR PENAWAR, PILABP 2035 LONJAK POTENSI JS-SEZ DI PENGERANG

Pengerang diyakini akan muncul sebagai bandar masa hadapan yang moden, sejahtera dan berdaya saing. | Foto FB Majlis Perbandaran Pengerang (MPP)
#IskandarPuteri – Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) memperkenalkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Penawar 2035 dan Pelan Induk Landskap dan Blueprint Pengerang (PILABP) 2035 bagi memacu Pengerang sebagai nadi pertumbuhan ekonomi Johor menjelang tahun 2035.
RKK Bandar Penawar 2035 merangkumi 35 cadangan pembangunan meliputi 13 projek berimpak tinggi, empat inisiatif ‘quick win’, empat projek utama dan 14 projek sokongan yang memberi tumpuan kepada penyusunan semula struktur fizikal serta fungsi pusat bandar agar lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan penduduk serta pelabur.
Manakala, PILABP 2035 pula menjadi panduan holistik dalam aspek perancangan perbandaran yang merangkumi cadangan projek reka bentuk landskap dan garis panduan khusus untuk pemaju serta agensi berkaitan.
Kedua-dua dokumen berkenaan berperanan penting menyokong transformasi Pengerang sebagai Flagship G di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) khususnya dalam mengembangkan sektor minyak dan gas serta pelancongan bertaraf antarabangsa.
Pembangunan direncanakan bukan sekadar tertumpu kepada fizikal semata-mata, tetapi turut menekankan keperluan menyediakan persekitaran yang mampu menarik golongan muda untuk menetap di Pengerang dan mencipta peluang pekerjaan baharu serta membina komuniti yang inklusif.
Dengan pelaksanaan secara menyeluruh RKK dan PILABP 2035, Pengerang diyakini akan muncul sebagai bandar masa hadapan yang moden, sejahtera dan berdaya saing sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai peneraju pembangunan di selatan tanah air.
#RKKPengerang
#BandarPenawar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor