RM1.2 JUTA NAIK TARAF JABATAN KECEMASAN 12 HOSPITAL JOHOR

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke HSNI Batu Pahat bagi meninjau pengoperasian Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. | Foto AH SOON
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan di 12 hospital yang terdapat di seluruh negeri ini, termasuk peruntukan RM370,000 yang disediakan khas kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Daripada jumlah itu, RM150,000 disalurkan khusus untuk Jabatan Kecemasan HSNI meliputi kerja menaik taraf dan pembelian peralatan perubatan serta bukan perubatan yang turut merangkumi kelengkapan sistem audio, televisyen pintar dan pintu automatik.
Selain itu, inisiatif menaik taraf lobi HSNI dengan peruntukan sebanyak RM50,000 telah mengurangkan kesesakan dengan penambahan jumlah kaunter serta penggantian sebahagian besar kerusi luar telah berjaya memastikan proses pendaftaran yang lebih lancar dan efisien dengan kira-kira 300 pesakit mendapat layanan sewajarnya setiap hari.
Kerajaan Negeri juga turut menyalurkan sejumlah RM220,000 kepada Jabatan Pakar Mata HSNI bagi pembelian mesin ‘Optical Coherence Tomography’ (OCT) yang akan membolehkan pesakit menjalani rawatan dan pemeriksaan tanpa perlu ke hospital lain seperti Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Meskipun tanggungjawab membaik pulih fasiliti kesihatan di bawah bidang kuasa Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Johor tetap komited untuk meningkatkan kualiti kemudahan perubatan dan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini dalam usaha memenuhi keperluan rakyat serta pada masa sama dapat menjaga kebajikan petugas barisan hadapan.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke HSNI Batu Pahat bagi meninjau pengoperasian hospital berkenaan.
#HospitalSultanahNoraIsmail
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor