RM16.4 JUTA LAKSANA 95 PROJEK PEMBANGUNAN DI BATU PAHAT

Kerajaan Johor turut meneruskan agenda kebajikan rakyat apabila sejumlah RM320,500 disalurkan kepada 1,125 penerima di daerah ini menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) sempena Ramadan. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM16.4 juta bagi melaksanakan 95 projek pembangunan di daerah ini menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Peruntukan tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti pembaikan jalan, naik taraf serta penyelenggaraan sistem saliran, pemasangan lampu jalan dan penambahbaikan kemudahan komuniti serta rekreasi demi keselesaan Bangsa Johor di daerah berkenaan.
Pelaksanaan semua inisiatif ini turut diselaraskan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pelaksana bagi memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tersusun dan efektif.
MTD Batu Pahat yang melibatkan sembilan kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) iaitu Rengit, Semarang, Semerah, Yong Peng, Sri Medan, Parit Raja, Parit Yaani, Senggarang dan Penggaram telah membincangkan sebanyak 449 isu serta perkara berbangkit di daerah ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 118 isu telah berjaya diselesaikan, 51 isu sedang dalam pelaksanaan, manakala 202 isu merupakan permohonan baharu, dengan selebihnya kini dalam tindakan serta penelitian agensi berkaitan untuk penyelesaian lanjut secara sistematik.
Dalam pada itu, Kerajaan Johor turut meneruskan agenda kebajikan rakyat apabila sejumlah RM320,500 disalurkan kepada 1,125 penerima di daerah ini menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) sempena Ramadan.
Bantuan tersebut memberi manfaat kepada pelbagai golongan sasar seperti asnaf, ibu tunggal serta golongan berpendapatan rendah, sekali gus membantu meringankan beban mereka khususnya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan hasil pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat, di samping memperkukuh kesejahteraan dan kemakmuran Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#MTDBatuPahat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



