RM5.4 JUTA PEMBANGUNAN KAPASITI PENJAWAT AWAM


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.4 juta di dalam Belanjawan Johor 2025 bagi pembangunan kapasiti penjawat awam dengan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menjayakan agenda Maju Johor.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 15 program peningkatan kemahiran untuk pelbagai kumpulan pelaksana diikuti RM1.43 juta bagi menjalankan Program Diploma dan Sijil Profesional dengan kerjasama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta Program Route To Professional Certification bagi Technologist (Ts.) dan Technician (Tc.) dengan kerjasama M-BOT.

 

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM770,000 bagi menjayakan Kursus Kepimpinan Pegawai Kanan di IPT terkemuka dunia selain RM1.4 juta untuk Program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional termasuk program di bawah tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

Ditubuhkan pada tahun 2020, Akademi JCS telah melaksanakan lebih 100 program pengukuhan kompetensi dan kepakaran penjawat awam melalui jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi dalam mahupun luar negara.

 

Kerajaan Negeri terus komited dalam meningkatkan kompetensi penjawat awam di negeri ini menerusi Akademi JCS bagi melahirkan penjawat awam berkeupayaan dan berkemahiran bagi mengurus serta membantu dalam pembentukan dasar negeri menerusi pengalaman dan pembelajaran berkualiti.

 

#BelanjawanJohor2025

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor