RUMAH KASIH JOHOR BERI KEGEMBIRAAN BUAT DUA KELUARGA SAMBUT SYAWAL

Inisiatif Rumah Kasih Johor mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya membantu golongan memerlukan memiliki tempat tinggal yang lebih sempurna, selamat dan selesa. | Foto FB Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor
#Pontian – Bagi sesetengah orang, ia mungkin hanya sekadar rumah. Namun bagi dua keluarga ini, Rumah Kasih Johor umpama istana atau mahligai yang bukan hanya menjadi tempat berteduh tetapi juga lokasi terbaik untuk membina kehidupan keluarga yang sihat, selamat dan sakinah.
Bagi Sulaiman Bachok, 57, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan kepimpinan setempat yang telah membantu diri dan keluarganya untuk memiliki rumah impian sendiri yang dibina di atas sebahagian tanah miliknya.
Beliau yang bekerja menyawit dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan sebelum ini terpaksa menumpang rumah di atas tanah milik ibunya bersama isteri, Anisah Alam, 51, serta anak perempuan mereka, Nur Karmila Izzati, 23.
Selama hampir 10 tahun, Sulaiman sekeluarga berteduh di baki rumah lama arwah bapanya sebelum permohonan mereka dipanjangkan oleh Ketua Kampung dan Penghulu Mukim Benut sehingga berjaya menerima inisiatif Rumah Kasih Johor berkenaan.
Sementara itu, Norasikin Lajunat, 36, seorang ibu tunggal kepada tiga anak termasuk seorang daripadanya disahkan orang kurang upaya (OKU) terlantar yang memerlukan penjagaan sepenuh masa turut bersyukur apabila terpilih untuk menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
Sebelum ini, Norasikin bersama anak-anaknya terpaksa menumpang di bahagian dapur rumah pusaka milik abangnya dan bergantung kepada Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT) serta bantuan sara hidup MAINJ sekitar RM800 sebulan.
Kini, dengan pembinaan Rumah Kasih Johor di atas tanah milik arwah bapanya, Norasikin dan anak-anak akan dapat menikmati kediaman yang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
Inisiatif Rumah Kasih Johor mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya membantu golongan memerlukan memiliki tempat tinggal yang lebih sempurna, selamat dan selesa.
#JohorSafeZone
#RumahKasihJohor
#RumahPercumaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


