RUMAH SEMBELIHAN MODEN KUKUH EKOSISTEM PENTERNAKAN JOHOR

Rumah sembelihan ruminan terbaharu di Negeri Johor di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Anam, Segamat mula beroperasi bersempena Hari Raya Aidiladha. | Foto Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Sebuah lagi fasiliti baharu, rumah sembelihan ruminan di Negeri Johor di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Anam, Segamat mula beroperasi bersempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

 

Rumah sembelihan moden yang mampu mengendalikan penyembelihan 40 ekor lembu sehari itu melibatkan peruntukan diluluskan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

 

Fasiliti tersebut juga memberi manfaat besar kepada penternak di kawasan sekitar untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ternakan bagi tujuan jualan mahupun sempena musim perayaan.

 

Selain itu, pembangunan fasiliti berkenaan disifatkan sebagai amat signifikan dalam memastikan kualiti, keselamatan dan kebersihan karkas atau daging sentiasa terjamin serta bebas sebarang penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

 

Rumah sembelihan itu dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi antaranya sistem ampaian gantung, rel karkas, kotak sembelihan, tempat pengumpulan sementara ternakan dan pelbagai peralatan sokongan yang menepati piawaian Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

 

Bermula Aidiladha pertama hingga semalam, sebanyak 38 ekor lembu telah disembelih dan diproses di fasiliti tersebut sekali gus diharapkan memperkukuh lagi peranan PPK Batu Anam sebagai pusat pengurusan ternakan serta penyembelihan yang efisien, profesional dan berdaya saing.

 

#KeterjaminanMakanan
#RumahSembelihanModenJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor