SEMANGAT SYAWAL SATUKAN BANGSA JOHOR


Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025M/1446H Menteri Besar Johor berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan rakyat terdiri pelbagai kaum. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#JohorBahru – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025M/1446H Menteri Besar Johor berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan rakyat terdiri pelbagai kaum menyambut 1 Syawal bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan isteri, YAD Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.

 

Sepanjang majlis berlangsung di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, suasana penuh kemesraan, keakraban dan semangat perpaduan jelas terpancar mencerminkan keutuhan Bangsa Johor dalam meraikan perbezaan sebagai satu keluarga besar yang harmoni.

 

Selain itu, Aidilfitri yang diraikan juga menjadi detik untuk mengeratkan hubungan antara rakyat dan pemimpin apabila rakyat dari segenap pelosok negeri hadir untuk bersama menikmati juadah tradisi lebaran antaranya ketupat, lemang, burasak, laksa Johor, nasi beriani, sate dan kambing bakar.

 

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dianjurkan bukan sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya menterjemah komitmen Kerajaan Negeri meneruskan agenda Maju Johor berlandaskan jati diri dan nilai-nilai murni yang menjadi asas kekuatan dan kemakmuran negeri ini.

 

Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Besar Johor turut dihadiri barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan, Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor, pemimpin-pemimpin masyarakat serta Konsul General Singapura di Johor Bahru.

 

#IndahyaSyawal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor