SENTUHAN MODEN KEKALKAN NOSTALGIA PENGUNJUNG ZOO JOHOR


Zoo Johor dibuka kepada umum pada 31 Ogos ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Umum mengetahui Zoo Johor mempunyai keunikan tersendiri kerana menampilkan koleksi haiwan milik Keluarga DiRaja Johor yang memberi nilai sentimental kepada pengunjung dan tidak mungkin diperoleh di mana-mana zoo lain.

 

Zoo Johor yang dahulunya dikenali sebagai Kebun Binatang telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Johor bagi memberi akses kepada orang ramai untuk melihat koleksi haiwan-haiwan yang ditempatkan di kawasan perkarangan Istana Besar, Johor Bahru itu.

 

Pintu masuk Zoo Johor yang bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 31 Ogos ini telah diberikan nafas baharu dengan konsep yang lebih moden dari sudut infrastruktur dan keindahan landskapnya.

 

Kerja menaik taraf fasa satu zoo tertua di negara itu telah digerakkan sejak tahun 2020 oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi.

 

Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan zoo, mengecat pagar, membaiki paip rosak serta menyediakan pokok renek atau ‘flowerplant’ bagi landskap kawasan kurungan haiwan.

 

Penambahbaikan kawasan sekitar Zoo Johor ini adalah sebagai persiapan ke arah menjelang Tahun Melawat Johor 2026 sebagai pusat tumpuan pelancong yang mampu menyingkap nostalgia orang ramai yang pernah mengunjungi Zoo Johor ini suatu ketika dahulu.

 

Selain itu, Pusat Cenderamata Zoo Johor yang menawarkan produk eksklusif dari The Johor Collection dengan kolaborasi bersama Zoo Johor turut memberikan nilai tambah kepada pengalaman pengunjung dalam mendapatkan pelbagai produk cenderamata eksklusif keluaran usahawan tempatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor