SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR BAHARU KOMITED BEKERJA MAJUKAN NEGERI

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor ke-25 bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri — YB Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu, merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Johor ke-25 berkuat kuasa 1 Julai lalu.

 

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman menzahirkan komitmen untuk terus menjunjung titah dan memenuhi aspirasi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk terus bekerja secara pantas dan berkesan demi memastikan setiap agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor akan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin.

 

Beliau juga menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan diberikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bagi menerajui pentadbiran awam negeri serta beriltizam untuk bekerjasama dengan lebih erat meneruskan agenda membangunkan negeri yang sedang berada dalam landasan tepat menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Penekanan tentang kepentingan kerjasama erat dalam kalangan barisan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor dan seluruh Pegawai Tadbir Negeri (JCS) turut diberikan bagi memperkukuhkan lagi usaha untuk memacu kemajuan serta pertumbuhan ekonomi Johor yang telah mula membuahkan hasil selepas merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus.

 

Memiliki ijazah sarjana muda dalam jurusan Undang-Undang dan Ekonomi dari Chiba University, Jepun, YB Dato’ Haji Asman Shah juga pernah menerajui Tourism Johor sebagai Pengarah sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif J’Biotech, selain berpengalaman luas di peringkat daerah sebagai Pegawai Daerah Mersing.

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) selain memangku tugas Pegawai Daerah Johor Bahru serta berperanan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) pada 2 Oktober 2024, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor ke-25.

 

Atas dedikasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam, beliau telah dianugerahkan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) pada 2021 yang membawa gelaran Dato’, serta Darjah Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) pada 2018. Selain itu, YB Dato’ Haji Asman Shah juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2019 dan 2020.

 

Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Johor ke-25 di hadapan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, semalam.

 

#SetiausahaKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor