SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR NAIK KERETA API SEMARAK JIWA MERDEKA


YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri YDH Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif menaiki kereta api dari Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) Segamat sempena Program Ekspres Merdeka. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Program Ekspres Merdeka: Dari Selatan Dengan Jiwa Merdeka Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian aktiviti diadakan sepanjang perjalanan menaiki kereta api dari Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) Segamat.

 

Program julung kali diadakan diserikan dengan kehadiran YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri YDH Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latif menyantuni kira-kira 200 penumpang dan mengedarkan Jalur Gemilang.

 

Selain itu, program ini juga mencipta lipatan sejarah tersendiri apabila gerabak kereta api yang digunakan bakal digantikan dengan tren baharu sebaik sahaja perkhidmatan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.

 

Berlepas dari JB Sentral pada jam 8:30 pagi dan tiba di stesen Segamat pada 12:35 tengah hari, para penumpang bersama-sama menyanyikan lagu-lagu patriotik manakala aktiviti mewarna menjadi pengisian buat kanak-kanak di sepanjang perjalanan bagi menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

 

Ketibaan rombongan diketuai YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani ke stesen Segamat disambut oleh YBhg Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Segamat serta persembahan tarian dan nyanyian daripada kumpulan tarian pelajar berkeperluan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Segamat serta murid-murid Tabika KEMAS.

 

YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani turut menyampaikan cenderahati kepada YB Dato’ Mohd Asman Shah Abd Rahman, Pegawai Daerah Johor Bahru, YBhg Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai dan YBhg Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Daerah Kluang ketika berhenti di stesen utama daerah masing-masing.

 

Hadir sama, YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YB Dato’ Ashari Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) dan YBhg Shubanah Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek Dan Kesejahteraan Rakyat).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor