SMI SEDIA LAHIR BAKAT TERBAIK
Berperanan menyelaras program berkaitan pengurusan dan pembangunan bakat terbaik dimiliki negeri, Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) menzahirkan kesediaan memainkan peranan yang signifikan dalam Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC) bagi menyediakan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri.
Kesediaan tersebut bagi Tazrina Ahmad, Pengurus Besar Unit SMI Johor adalah selari dengan visi penubuhan agensi berkenaan dalam menjadi katalis ekosistem modal insan di negeri ini serta berperanan sebagai pusat rujukan utama agensi kerajaan lain, pelabur, industri serta rakyat dalam melahirkan bakat dan modal insan berkemahiran.
Meskipun peranan utama SMI di dalam JTDC dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi, agensi tersebut sudah mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh kerjasama jaringan seterusnya membangunkan bakat yang kompeten melalui strategi komprehensif supaya dapat menampung permintaan daripada industri.
Selain itu, penubuhan JTDC juga disifatkan tepat pada masanya serta langkah holistik Kerajaan Negeri dalam membantu memenuhi pasaran pekerjaan terutama ketika Johor sedang bergerak ke arah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka dimuktamad tidak lama lagi seterusnya merealisasi aspirasi sebagai negeri maju pada tahun 2030.
Cadangan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mewujudkan JTDC disambut baik oleh SMI untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir melalui penyediaan peluang pekerjaan di kawasan JS-SEZ yang juga dijangka diperluaskan ke seluruh negeri sekali gus membekalkan tenaga mahir mencukupi kepada industri.
Terdahulu, Menteri Besar Johor bersama delegasi Kerajaan Negeri menghadiri mesyuarat khas dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri untuk memperhalusi cadangan penubuhan JTDC yang akan menjadi strategi serampang dua mata dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan penempatan kerjaya secara terus.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor