SOCAT, ARCHISEN METERAI MoU BANGUN AGROPOLIS MODEN DI SEDENAK

Archisen berbesar hati bekerjasama dengan SOCAT bagi memperkenalkan teknologi pertanian inovatif, memperkukuh ekosistem Johor serta membuka peluang baharu kepada petani. | Foto Archisen Pte. Ltd.

 

#IskandarPuteri – Southern Catalyst Sdn. Bhd. (SOCAT), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadanankan (MKD) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Archisen Pte. Ltd., syarikat agroteknologi Singapura bagi membangunkan agropolis, sebuah hab pertanian bersepadu moden di Ladang Air Manis, Sedenak.

 

Pembangunan yang berpotensi menarik pelaburan sehingga RM500 juta seluas 200 ekar itu berteraskan ekosistem menyeluruh direka bentuk untuk menarik pemilik ladang dan membuka aliran hasil baharu merentasi rantaian nilai pertanian selain menyediakan akses kepada pasaran lebih luas, latihan dan pembangunan tenaga kerja, insentif menarik serta persekitaran operasi yang kondusif.

 

Pendekatan bersepadu membangunkan hab tersebut bertujuan memperkasa petani dan meletakkan Johor sebagai peneraju serantau dalam bidang pertanian moden malah agropolis berkenaan turut akan menjadi sebahagian daripada ekosistem lebih besar dalam Industri Pemprosesan Makanan di bawah inisiatif ‘Daerah Inovasi Southern Catalyst’ (SCID).

 

Sebagai pemaju utama SCID, SOCAT menyifatkan kerjasama yang terjalin mampu mewujudkan ekosistem penambahan nilai produk pertanian, mengintegrasikan inovasi dan memacu peluang jangka panjang untuk Johor serta rantau ini malah berbangga dapat menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan agenda Maju Johor.

 

Menerusi pembangunan hab pertanian moden dalam daerah inovasi tersebut, SOCAT bersedia memacu pertumbuhan industri, memperkukuh keselamatan makanan negara dan memajukan inovasi hijau serta digital negeri sekali gus meletakkan Johor sebagai hab serantau untuk pembangunan mampan dan inklusif dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Sementara itu, Archisen amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan SOCAT dalam memperkenalkan teknologi pertanian inovatif serta menjalin kerjasama strategik yang akan memperkukuh ekosistem pertanian Johor dan membuka peluang pertumbuhan baharu kepada golongan petani.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#Pertanian
#KeterjaminanMakanan
#SouthernCatalyst
#Archisen
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor