SORAKAN ‘LUASKAN KUASAMU’ TONIK TAMBAHAN PEMAIN JDT


Selain prestasi di atas padang, sokongan padu dari penyokong yang berada di stadium juga akan menjadi sumber motivasi tambahan buat pasukan harimau selatan. | Foto Bayu Anggara.

 

 

Penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA 2024 menentang Selangor FC yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok.
Sebagai pemain ke-12, Mohamad Idham Khalil, 24, berkongsi keyakinan pasukan kesayangannya akan sekali lagi mempamer aksi terbaik di pentas akhir, dalam misi mempertahankan kejuaraan setelah mengungguli saingan domestik itu pada tahun 2016 serta dua kali berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Hadir dengan skuad yang dijangka lebih kuat, Idham percaya bahawa selain prestasi di atas padang, sokongan padu dari penyokong yang berada di stadium juga akan menjadi sumber motivasi tambahan buat pasukan harimau selatan.
Beliau turut mengingatkan para penyokong yang hadir ke SNBJ agar datang lebih awal, mengenakan pakaian berwarna biru dan merah yang melambangkan semangat JDT, serta menjaga tingkah laku yang baik bagi mewujudkan suasana positif tanpa provokasi.
Bagi Muhammad Alif Haziq Isnin, 27, walaupun tidak dapat hadir ke SNBJ, beliau tetap tidak mahu ketinggalan merasai suasana perlawanan akhir tersebut dengan merancang untuk menyaksikannya di skrin layar besar disediakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Tambahnya, semangat dan sorakan yang padu daripada penyokong JDT pasti dapat dirasai memandangkan Dataran Bandaraya Johor Bahru sudah sinonim sebagai lokasi untuk Bangsa Johor berkumpul beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir melibatkan pasukan JDT.
Oleh itu, beliau berharap sorakan dan laungan “Luaskan Kuasamu” akan bergema setiap kali JDT melakukan serangan atau percubaan gol bagi menambahkan lagi semangat dalam kalangan penyokong yang berkumpul pada malam perlawanan itu nanti.
Dalam pada itu, Kerajaan Johor turut mengumumkan cuti peristiwa pada 25 Ogos (Ahad) susulan kejayaan JDT mara ke perlawanan akhir Piala FA 2024, sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Selatan yang tidak pernah henti-henti memberikan sokongan.