SPAGETI SELERA LOKAL TARUHAN CEF MUDA


Arief Hayqal Abdullah, 19, berentap bersama peserta tempatan dan antarabangsa lain dalam Kejohanan Cef Dunia Malaysia 2024. | Foto ihsan Arief Hayqal Abdullah

 

Usia muda tidak menghalang seorang peserta muda, Arief Hayqal Abdullah, 19, untuk berentap bersama peserta tempatan dan antarabangsa lain dalam Kejohanan Cef Dunia Malaysia 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

Pelajar Kolej Vokasional Langkawi yang tampil buat kali kedua dalam pertandingan berkenaan selepas tahun lalu, kembali dengan mengetengahkan resipi olahannya iaitu ‘Spaghetti Creamy Sambal Udang Petai’ yang menggabungkan selera barat dan lokal bagi mengangkat ke peringkat antarabangsa.

 

Arief Hayqal yang mula meminati bidang kulinari sejak usia empat tahun meletakkan sasaran pingat bagi kategori Cabaran Spageti selain empat kategori lain iaitu Bubur Cha Cha, Pisang Goreng, Sambal Udang Petai dan Ayam Kurma selepas kejayaan meraih pingat emas dan perak bagi kategori Pameran Kuih dan Asam Pedas pada tahun lalu.

 

Kejohanan Cef Dunia Malaysia 2024 yang merupakan acara tahunan kalendar pelancongan Negeri Johor bermula 16 hingga 18 Mei ini, melibatkan penyertaan seramai 1,790 peserta dari Malaysia serta luar negara seperti Taiwan, China, Hong Kong, Singapura dan Vietnam.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Kejohanan Chef Dunia Malaysia Tahun 2024, hari ini. Turut hadir, YBhg. Muzaldin Mohamed, Pegawai Daerah Johor Bahru serta YBhg. Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor