SPM 2025: JOHOR TERUS MENINGKAT, GPN BERTAMBAH BAIK KEPADA 4.28

YBrs En. Ali@Zainalabidin Syed Mohamed yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor mengumumkan Keputusan peperiksaan SPM tahun 2025 di Bilik Mesyuarat, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, JPNJ. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Prestasi pendidikan Negeri Johor terus menunjukkan peningkatan yang ketara apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) yang lebih baik iaitu 4.28 berbanding 4.36 pada tahun 2024.
Pencapaian itu terbukti apabila seramai 36 calon peperiksaan awam berkenaan berjaya memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran, selain calon yang memperolehi kombinasi A+, A dan A- turut meningkat kepada 1,573 orang (3.73 peratus) berbanding 1,472 orang (3.45 peratus) pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam memperkukuh kualiti pendidikan, sekali gus memastikan kecemerlangan berterusan akademik pelajar Johor.
Selain itu, pencapaian Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) terus diberi perhatian apabila seramai 125 calon atau 81.17 peratus daripadanya layak dianugerahkan sijil SPM Tahun 2025 dan lebih membanggakan seramai tujuh calon CBPK berjaya memperoleh keputusan semua A.
Lebih membanggakan apabila pelajar dari kumpulan Orang Asli turut mencatatkan kejayaan memberangsangkan apabila kesemua calon daripada lapan sekolah layak memperoleh sijil SPM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara inklusif kepada semua anak-anak Johor.
Sementara itu, inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) terbukti memberi impak positif terhadap prestasi akademik apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasik Utara, Johor Bahru berjaya mencatatkan 100 peratus layak menerima sijil SPM dengan lima calon mendapat semua A.
Manakala SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang pula mencatatkan peratus kelayakan sijil sebanyak 98.95 peratus serta pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) yang lebih baik daripada 3.38 kepada 3.25 dengan jumlah calon mendapat semua A adalah seramai empat orang.
Pelaksanaan SRBJ jelas membuktikan bahawa pembangunan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif mampu meningkatkan motivasi guru serta memperkukuh prestasi murid secara menyeluruh.
Untuk rekod, seramai 40,121 pelajar atau 95 peratus calon SPM sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia layak dianugerahkan sijil SPM Tahun 2025 apabila berjaya memenuhi syarat pensijilan dan menunjukkan peningkatan berbanding 40,266 calon (94.50 peratus) layak dianugerahkan sijil SPM pada tahun 2024.
Terdahulu, YBrs En. Ali@Zainalabidin Syed Mohamed yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor mengumumkan Keputusan peperiksaan SPM tahun 2025 di Bilik Mesyuarat, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, JPNJ, hari ini.
#JohorSafeZone
#SPMJohor
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



