SRBJ PACU SEKOLAH BERPRESTASI SEDERHANA KE ARAH DAYA SAING GLOBAL

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat ke salah sebuah Sekolah Rintis Bangsa Johor di SK Tasek Utara. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mentransformasi sistem pendidikan negeri secara inklusif dan strategik bagi melahirkan generasi Bangsa Johor yang berdaya saing di peringkat global.
Inisiatif tersebut telah dilaksanakan selaras dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai asas kemajuan dan kemakmuran negeri menerusi program pendidikan tambahan untuk memperkasa modal insan.
Pemilihan sekolah berprestasi sederhana sebagai projek rintis turut menggambarkan pendekatan Kerajaan Johor yang memberi peluang saksama kepada institusi pendidikan untuk ditingkatkan ke tahap lebih tinggi melalui sokongan menyeluruh dan terancang.
Pendekatan menyeluruh ini menzahirkan iltizam Kerajaan Johor untuk menyediakan pendidikan holistik berkualiti kepada semua pelajar, sekali gus memperkukuh aspirasi menjadikan Johor sebagai negeri contoh dalam sektor pendidikan.
Pelaksanaan SRBJ turut menjadi program pendidikan perintis Johor yang bertujuan melahirkan murid cemerlang bertaraf dunia dengan mengintegrasikan penguasaan dwibahasa, pengukuhan kemahiran STEM, pembentukan sahsiah serta kebolehpasaran murid, selain pelaksanaan pentaksiran kompetensi murid setara bertaraf antarabangsa.
Untuk rekod, empat sekolah dipilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berkenan berangkat ke Sekolah Rintis Bangsa Johor (SK Tasek Utara), hari ini.
Turut hadir ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#SekolahRintisBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



